KUCHING, 25 Mei: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak yakin penekanan kepada empat tumpuan untuk mengubah sektor pertanian negeri dan kehidupan petani mampu dicapai.

Hasrat berkenaan menurut Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom disokong kelebihan besar dimiliki Sarawak terutamanya keluasan kawasan tanaman komoditi yang dijangka mencecah 2.14 juta hektar menjelang 2025.

Katanya, ini merangkumi tanaman kelapa sawit, getah, lada, sago dan koko.

“Sehubungan itu, kerajaan akan terus menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam membangunkan Tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR).

“NCR mempunyai kawasan yang diluluskan sekitar 250,000 hektar dengan jangkaan nilai pelaburan sebanyak RM4.5 bilion,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Menurut Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, kementerian yang diterajuinya juga akan memastikan Sarawak mencapai tahap keselamatan makanan yang memuaskan dan peningkatan pendapatan eksport makanan.

Katanya, kementerian juga akan memberi fokus kepada peningkatan sumbangan komoditi tani kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan menyasarkan purata pendapatan bulanan RM6,000 bagi setiap isi rumah petani.

“Hasil yang dijangkakan daripada empat bidang tumpuan ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 atau PCDS 2030.

Beliau turut memaklumkan sidang DUN ketika ini sektor pertanian menyumbang RM16.5 bilion atau 12.1 peratus kepada KDNK dan Sarawak merekodkan lebihan RM6.9 bilion untuk perdagangan pertanian pada tahun lepas. -TVS

 

Source: https://tvstv.my/2022/05/25/dun-sarawak-kawasan-tanaman-komoditi-dijangka-seluas-2-14-juta-hektar/

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support
[pvcp_1]