Skip to main content

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) mengambil serius mengenai keselamatan makanan di negeri ini.

Menterinya, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, Sarawak merupakan negeri penting yang menyumbang kepada keselamatan makanan negara.

Katanya, sekiranya tidak diberi perhatian serius, ia akan memberi kesan yang meluas kepada kesihatan sosio-ekonomi penduduk.

“Merujuk kepada statistik pengeluaran makanan ruji utama ia semakin berkurangan manakala import makanan telah meningkat.

“Apabila populasi kita bertambah, permintaan terhadap makanan juga meningkat. Jadi kita mesti segera menangani isu pengeluaran dan longgokan stok barangan makanan utama kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kementeriannya juga sedang mengambil usaha bersepadu dan menggariskan enam inisiatif untuk menangani isu berkenaan.

Ujarnya, ia memberi tumpuan kepada peningkatan prestasi rangkaian dalam semua aktiviti yang berkaitan dengan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran serta penyediaan makanan.

“Bagi memenuhi keperluan beras kita, Sarawak terpaksa mengimport 145,468 tan metrik beras pada 2021 bernilai RM387 juta.

“Antara inisiatif utama untuk meningkatkan pengeluaran beras di Sarawak adalah untuk membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur di 14 skim saliran dan pengairan sedia ada di seluruh Sarawak, membangunkan kawasan baru untuk penanaman padi dan meneruskan model perkongsian awam-swasta untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta untuk melabur dalam penanaman padi,” katanya. -EDISI UKAS

 

 

Source: https://ukas.sarawak.gov.my/2022/05/25/manred-ambil-serius-keselamatan-makanan-di-sarawak

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support