Skip to main content

KUCHING: Sarawak perlu meningkatkan pengeluaran padi bagi mencapai sasaran tahap sara diri beras (SSL) 60 peratus menjelang 2030 sebagai jaminan sekuriti makanan negeri.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephan Rundi Utom berkata buat masa ini pengeluaran beras semasa hanya dapat memenuhi 38 peratus daripada keperluan beras Sarawak.

“SSL yang rendah telah memberi kesan kepada sekuriti makanan semasa di Sarawak.

“Bagi memenuhi keperluan beras, Sarawak terpaksa mengimport 145,468 tan metrik beras pada 2021 yang bernilai RM387 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Dr Rundi memberitahu, jumlah hektar sawah padi di Sarawak telah menurun dengan agak ketara daripada sekitar 130,000 hektar pada 2012 kepada kira-kira 83,000 hektar pada 2021.

“Oleh itu, jumlah beras yang dihasilkan juga telah berkurangan daripada 142,000 tan metrik pada 2012 kepada kira-kira 89,200 tan metrik,” jelasnya.

Sehubungan itu kata beliau, kementeriannya telah menggariskan enam inisiatif utama untuk meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini.

“Inisiatif pertama ialah membaik pulih dan menaik taraf Infrastruktur di 14 skim saliran dan pengairan sedia ada di seluruh Sarawak melibatkan 2,829 hektar.

“Ini bagi membolehkan skim-skim ini sesuai untuk penanaman padi dan mengurangkan tanah padi daripada ditukar oleh petani kepada penanaman tanaman yang lebih menguntungkan seperti kelapa sawit.

Bagi inisiatif kedua, Dr Rundi berkata, kementeriannya akan membangunkan kawasan baharu yang dikenal pasti untuk penanaman padi berair termasuk 100 hektar di Kampung Mujat di bahagian Serian dan di Abok-Selepong di bahagian Sri Aman dengan anggaran keluasan 3,000 hektar.

“Ketiga, kementerian saya akan secara aktif meneruskan model perkongsian awam-swasta untuk meningkatkan penglibatan sektor swasta untuk melabur dalam penanaman padi.

“Di bawah inisiatif ini, kerajaan akan menyediakan infrastruktur asas seperti pembinaan sistem pengairan tertiari dan kemudahan lain manakala sektor swasta akan melabur dalam pengeluaran padi, pemprosesan lepas tuai dan pemasaran beras.

“Model baharu iaitu SMART Large Scale Paddy Planting Model (SMART SBB) akan dilaksanakan di Sarawak untuk pengurusan yang lebih cekap,” jelasnya.

Inisiatif keempat, beliau memberitahu akan memperkasakan  mekanisasi dan automasi ladang melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menyediakan perkhidmatan ladang kepada ahli ke arah mencapai produktiviti yang lebih tinggi.

“Inisiatif kelima ialah menghasilkan pengeluaran benih padi yang berkualiti yang mana petani kita digalak mengusahakan varieti hasil tinggi yang mempunyai potensi hasil 8-10 tan metrik sehektar.

“Kementerian saya akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan dan ahli akademik serta firma swasta yang lain untuk mengeluarkan benih padi hasil tinggi bagi meningkatkan produktiviti padi,” ujarnya.

Manakala bagi inisiatif terakhir katanya, kementeriannya mahu memperkenalkan insentif pengeluaran padi kepada pesawah dan pengeluar padi bagi meningkatkan pengeluaran padi domestik.

 

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/25/sarawak-perlu-meningkatkan-pengeluaran-padi-capai-tahap-ssl

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support