Skip to main content

KUCHING: Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah telah mengenal pasti beberapa kawasan yang berpotensi bagi meneruskan pembangunan dalam kawasan Agropolitan Gunung Sadok dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, ada dua cadangan projek sedang diperhalusi.

“Pertama ialah cadangan bagi estet getah dengan anggaran keluasan 1,104 hektar yang terletak di kawasan Entaih, Ulu Gerenjang dan Ng Long, Ulu Krian.

“Manakala kedua adalah cadangan bagi estet kelapa sawit dengan anggaran keluasan 2,447 hektar di kawasan Ulu Sebetan-Ulu Awik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Friday Belik (GPS-Krian) pada sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Menurut Dr Abdul Rahman Ismail, projek agropolitan merupakan salah satu inisiatif kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan mula dilaksanakan di Sarawak sejak 2009.

Di Sarawak katanya, ada lima projek agropolitan telah dilaksanakan iaitu di Batang Lupar, Sri Aman; Batang Sadong, Samarahan; Pulau Bruit, Mukah; Gunung Sadok, Betong dan Nanga Sekuau, Sibu.

Bagi Agropolitan Gunung Sadok di kawasan DUN Krian katanya, projek penanaman getah telah dibangunkan bermula pada 2010.

“Seluas 322.57 hektar telah dibangunkan dengan tanaman getah oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mulai tahun 2010 melalui empat fasa dan telah siap dilaksanakan pada 30 Mei 2021,” katanya.

“Ia diganti dengan Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK).

“Bagi Sarawak, dua projek PROSPEK telah diluluskan iaitu PROSPEK Matu (2019)dan PROSPEK Lawas (2022).

“Bagaimanapun, projek agropolitan yang sedia ada akan terus dibangunkan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman berkata terdapat beberapa projek pertanian yang dilaksanakan oleh beberapa agensi di kawasan Agropolitan Gunung Sadok.

Ujarnya, Jabatan Pertanian Sarawak (DOA) telah melaksanakan beberapa projek pertanian seperti tanaman lada, durian, tanaman baharu kelapa sawit dan tanaman kontan.

“Sementara Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) membangunkan tiga estet kelapa sawit iaitu Estet Kelapa Sawit Saratok, Roban Selatan dan Saribas dengan anggaran keluasan 4,261 hektar.

“Manakala Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kalaka-Saribas-Betong melaksanakan lapan projek pembangunan pertanian iaitu Projek Pembangunan Tanaman Nanas, Projek Pembangunan Buah-buahan, Projek Pembangunan Integrasi Pertanian, Projek Pembangunan Tanaman Sayuran dan Kontan, Projek Pembangunan Industri Ternakan, Projek Pembangunan Kelestarian Agromakanan, Projek Pembangunan Industri Akuakultur dan Projek Pembangunan Teknologi Fertigasi,” jelasnya.

 

Source: https://www.utusanborneo.com.my/2022/05/23/estet-getah-dan-kelapa-sawit-dicadang-di-kawasan-agropolitan-gunung-sadok

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support