KUCHING,12 Mei: Sarawak komited untuk menjadi hab pengeluar produk pertanian bagi menjadikan industri tersebut sebagai sumber utama pendapatan ekonomi negeri.

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, kementeriannya kini sedang mempergiatkan usaha untuk menjadikan industri pertanian di negeri ini sebagai sebuah perniagaan dalam kalangan petani.

Ujar beliau, usaha tersebut dapat direalisasikan dengan jalinan kerjasama bersama sektor swasta dan pihak berkaitan yang kini sedang berlangsung dengan baik.

“Sekarang pihak saya sedang melakukan perbincangan dengan rakan sejawat kami dari Singapura dan mereka telah menyatakan persetujuan bahawa mereka akan melabur di sini, dan ini memberi kebaikan kepada para petani di negeri ini untuk belajar daripada mereka.

“Kita yakin bahawa produk tempatan kita akan diterima di pasaran negara lain kelak,” katanya.

Ujar Stephen lagi, inisiatif yang diambil kementeriannya juga bertujuan bagi memastikan Sarawak mempunyai bekalan yang cukup dan pada masa sama mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import dalam masa beberapa tahun lagi.

Kerisauan terhadap terputusnya bekalan dari pengeksport menjadi antara faktor mengapa pihaknya mengambil langkah tersebut.

Menurutnya, beliau optimis menjelang 2030, Sarawak mampu untuk meningkatkan peratus bekalan tempatan, dan seterusnya menjadi pengeksport kepada negara luar.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis pengagihan kuih tradisi etnik Dayak kepada orang awam bersempena dengan program Mantar Aco Lepa Ajau Birami Gawai di Kuching, hari ini.

Menurut Stephen, program tersebut merupakan yang pertama kali dianjurkan di Sarawak setelah mendapat inspirasi daripada program Pandu Lalu Bubur Lambuk Pedas yang dianjurkan pada  bulan Ramadan yang lepas.

“Dalam program ini, kuih tradisi etnik Iban, Bidayuh, Kenyah, dan Lun Bawang telah kita agihkan kepada orang ramai iaitu sebanyak 4000 bagi setiap jenis kuih.

“Program pengagihan secara pandu lalu ini kita lihat bukan sahaja merupakan program kemasyarakatan semata-mata, tetapi turut juga dapat mempromosikan makanan etnik Dayak kepada orang ramai sempena perayaan Hari Gawai kelak,” katanya. – TVS

 

Source: https://tvstv.my/2022/05/12/sarawak-fokus-pengeluaran-produk-pertanian-kurang-kebergantungan-import

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support
[pvcp_1]