Skip to main content

RABU, 20 APRIL 2022

SERIAN: Kawasan Mongkos berpotensi untuk dibangunkan sebagai kawasan perusahaan pertanian secara komersial.

Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben berkata, kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk mengubah cara pertanian tradisional yang masih diamalkan kepada kaedah yang lebih moden dengan menggunakan teknologi terkini.

“Kita juga akan mencadangkan kepada masyarakat tempatan agar menyatukan tanah-tanah milik mereka untuk diusahakan secara komersial oleh pelabur luar bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi,’’ katanya pada sidang media setelah mengadakan lawatan ke beberapa kawasan di sekitar Mongkos di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru agensi kerajaan yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian untuk mengadakan sesi dialog bersama dengan penduduk tempatan demi menjelaskan lebih lanjut berkenaan rancangan tersebut.

“Kita mahu mendengar maklum balas daripada para penduduk serta mendidik mereka yang mungkin tidak jelas mengenai usaha-usaha pengkomersialan ini,’’ ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup berkata, cadangan ini dapat direalisasikan kerana kawasan-kawasan terlibat sudah mempunyai infrastruktur yang cukup baik dan terletak di lokasi strategik yang mempunyai sumber semula jadi secukupnya seperti air.

Terdahulu, Martin bersama rombongan telah melawat ke Skim Pengairan DID Paya Mending di Kampung Bunan, Projek Tagang di Kampung Terbat, dan juga beberapa kawasan pertanian di sekitar Mongkos.

Turut serta ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datu Edwin Abit, dan Pemangku Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak, Dominic Chunggat. -Edisi UKAS

Source: https://ukas.sarawak.gov.my/2022/04/20/sektor-pertanian-berpotensi-diusahakan-secara-komersial-di-mongkos/

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support