KEWUJUDAN kawasan pertanian baharu seluas 127 hektar di Sungai Baji Sarikei membuktikan Sarawak komited memperkasa konsep pertanian pintar bagi mencapai matlamat menjadikan negeri ini sebagai pengeluar dan pengeksport makanan utama negara menjelang 2030.
Lebih menarik, taman agro pertanian Sungai Baji bukan sekadar tempat untuk bercucuk tanam tetapi juga memperkenalkan konsep pertanian pintar yang bakal menjadi tempat penyelidikan.
Lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari pusat bandar Sarikei itu juga akan menjadi destinasi ilmu pertanian dan ekopelancongan yang selari dengan status Sarikei sebagai pengeluar hasil pertanian.
Tidak lain tidak bukan, matlamatnya untuk mengubah corak hidup golongan petani tempatan dalam tempoh jangka panjang.
Kawasan itu juga akan dimodenkan melalui penggunaan teknologi terkini dengan harapan, membantu petani menembusi pasaran global melalui perkongsian pintar bersama sektor swasta selain menggalak penyertaan golongan muda.
Usaha itu juga bertepatan dengan sasaran kerajaan untuk membangunkan kawasan seluas dua juta hektar tanah bagi pelbagai aktiviti pertanian, terutama dalam penanaman tanaman makanan.
Mungkin pada masa yang sama, lebih banyak Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) akan ditubuhkan manakala penyelidikan dan pembangunan akan dijalankan secara meluas, modal untuk usahawan agropertanian juga akan diberikan.
Ia bukan mustahil kerana ketika ini, Kerajaan Sarawak juga mempunyai perancangan untuk menubuhkan CPPC moden di beberapa lokasi strategik seperti Limbang, Lawas, Layar, Lundu, Lachau, Sebangan, Kapit dan Long Lama.
Pada masa yang sama, kerajaan juga merancang untuk membangunkan Terminal Agro Makanan di Semenggok, Kuching, Bebuling dan Spaoh.
Setiap kawasan itu akan dikendalikan agensi pelaksana kerajaan negeri seperti Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak dan juga syarikat-syarikat swasta yang mempunyai pasaran domestik dan pasaran eksport.
Sehubungan itu, bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden, kerajaan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM232 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang melibatkan tujuh projek naik taraf sistem pengairan pintar menggunakan Internet benda (IoT), perolehan jentera, mesin dan aplikasi pertanian.
Langkah proaktif itu mampu memberi manfaat besar dalam tempoh jangka panjang namun untuk merealisasikannya, perlu mendapat sokongan padu semua pihak terutama penggiat industri berkenaan.
Usaha gigih yang dilakukan ini juga dilihat selari dengan perkembangan dunia digital yang menuntut petani supaya mengubah tradisi agar lebih kompetitif dalam meningkatkan kualiti dan kuantiti penanaman ke arah yang lebih optimum.
Namun apakah itu pertanian pintar?
Pertanian pintar boleh disimpulkan sebagai konsep pengurusan pertanian menggunakan teknologi moden untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti produk pertanian.
Melalui teknologi ini juga, petani mempunyai akses kepada Sistem Pesanan Global (GPS) pengimbasan tanah, pengurusan data dan teknologi Internet benda (IoT).
Harapan kerajaan supaya golongan petani bersedia menerima perubahan termasuk mengapikasikan teknologi berkenaan.
Ini kerana melalui pendekatan itu, mereka berupaya memaksimumkan pengeluaran dan pendapatan.
Ada benarnya kata Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Stephen Rundi Utom, pertanian bukan kerja kais pagi makan pagi sebaliknya mampu menghasilkan pulangan lumayan.
Source: https://suarasarawak.my/2022/04/pertanian-bukan-kerja-kais-pagi-makan-pagi/