Skip to main content

SIBU: Masyarakat Sarawak khususnya di kawasan luar bandar digesa untuk mengusahakan tanah masing-masing dengan menggunakan teknologi baharu dan moden supaya negeri ini dapat menjadi pengeluar makanan bagi pasaran antarabangsa.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka boleh menggunakan kaedah penanaman fertigasi atau hidroponik untuk mengeluarkan hasil tani.

“Justeru saya melihat masyarakat Dayak juga boleh menjadi pengeluar utama kerana mereka mempunyai tanah. “Dari sudut sosioekonomi, penduduk kita yang memiliki tanah mempunyai masa hadapan yang cerah tetapi dengan syarat mereka mesti menggunakan teknologi dan pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian Persidangan Tritahunan Ke-5 Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Hotel Kingwood, di sini pada Ahad.

Sehubungan itu, tambahnya apa yang penting ialah pemilik dapat mengusahakan tanah masing-masing dengan baik. “Gunakan tanah kita sebagai sumber industri makanan kita,” ujarnya.

Menjelas lanjut beliau memaklumkan, landskap ekonomi juga perlu diubah dan jika seseorang itu mempunyai tanah tetapi tidak diusahakan ia tidak akan mendatangkan hasil.

Oleh itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan akan sentiasa berusaha membantu masyarakat termasuk menyediakan kemudahan untuk mengusahakan kebun dan sebagainya.

Source: https://suarasarawak.my/2022/04/manfaatkan-tanah-sebagai-sumber-industri-makanan/

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support