KUCHING | 23 MEI 2024
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak YB Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom mengadakan sidang media mengumumkan penganjuran Sarawak Agrofest (SAF) 2024 di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada hari ini. Dengan tema “Memantapkan Sektor Pertanian, Memperkasakan Komuniti”, SAF 2024 akan diadakan di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu selama 11 hari bermula 12 Julai sehingga 22 Julai 2024. Tema ini selaras dengan visi untuk mencapai sektor pertanian dan ekonomi luar bandar maju menjelang 2030.
Dalam pada itu, SAF tahun ini adalah istimewa kerana ianya diadakan seiring dengan sambutan Hari Sarawak 2024 dan sambutan 100 Tahun Jabatan Pertanian Sarawak , kedua-duanya juga akan berlangsung di tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu. SAF 2024 akan mengintegrasikan persidangan, pameran dan jualan, promosi pelaburan, promosi makanan dan elemen pertandingan dalam satu festival pertanian yang besar melalui pelbagai bahagian.
Antaranya adalah Pavilion Pameran Sarawak Agrofest dan Sambutan 100 Tahun Jabatan Pertanian Sarawak, AgroTrade, AgroFresh, AgroTech, Agrolnput, Smart Farming, Peladang e-Shop, Sarawak Aqua, Vet Zoo dan Dapur Sarawak (Halal dan Tidak Halal).
Hadir sama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Industri Makanan) YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (Komoditi dan Pembangunan Wilayah) YB Datuk Martin Ben, Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) YB Tan Sri William Mawan Ikom, Timbalan Setiausaha Tetap M-FICORD Encik Sayed Ismail Nasiruddin bin Dato’ Sri Wan Hashim, Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak Encik Dominic Chunggat, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Datu Dr. Adrian Susin Ambud, Pengurus Besar SLDB Professor Dr. Harry Entebang, dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak Encik Gom Raway.