BACHOK: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) sedia membantu pekebun kecil termasuk graduan universiti yang menganggur untuk mengusahakan tanaman nanas cobek secara komersial.
Pengarah LPNM Wilayah Timur, Mohd. Zamani Ab. Ghani berkata, setakat ini nanas cobek dari keluarga Queen dengan pembiakan sulur hanya diusahakan di Kelantan setelah induk bakanya dibawa dari Thailand.
Menurut beliau permintaannya amat tinggi kerana brik kemanisannya mencapai 16 hingga 18 peratus lebih tinggi berbanding varieti nanas lain yang terdapat di negara ini.
“Ia berpotensi untuk dikembangkan bagi memenuhi permintaan domestik. Ia dijual dengan harga RM8 sekilogram bagi harga ladang dan mencecah RM11 hingga RM13 bagi pasaran runcit.
“Setakat ini hanya dua kebun yang aktif mengusahakan nanas cobek komersil iaitu di Tumpat dan di Kolej Vokasional Bachok yang turut bersedia membekalkan anak benih sulur kepada mereka yang berminat,” katanya ketika ditemui sempena lawatan Timbalan Menteri Pertanian II, Dato’ Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, di sini hari ini.
Mohd. Zamani berkata, setakat ini hanya 11.2 hektar nanas tersebut diusahakan di Kampung Laut, Tumpat dan sembilan hektar di Bachok yang masih memerlukan tambahan keluasan untuk memenuhi permintaan semasa.
Katanya, varieti yang berasal dari beberapa negara termasuk Brazil, Taiwan dan Thailand telah didaftarkan sebagai tanaman komersial di bawah LPNM pada tahun 2020, namun penanamannya hanya bertumpu di Kelantan.
“Jarang kelihatan ia dijual di pasaran setakat ini. Berat buahnya sekitar 1.5 hingga 2 kilogram dalam bentuk kon atau selinder, berwarna kuning hijau dengan 138 mata yang boleh dicobek tanpa perlu dihiris untuk dimakan,” ujarnya.
Beliau berkata, pengurusan kolej vokasional bersedia membekalkan sulur benih dengan harga RM1.50 sepokok di mana pekebun yang berhasrat mengusahakan ladang boleh berdaftar dengan LPNM bagi mendapatkan bantuan tertentu yang disediakan.
Katanya, selain nanas cobek terdapat 12 lagi varieti yang didaftarkan sebagai tanaman komersial iaitu Moris, Sarawak, Gandul, Josapine, Yankee, Moris Gajah, Maspine, N36, MD2, View Of Sunset, Madu Kaca dan nanas Keningau Diamond.
Sementara itu, Dr Nik Muhammad Zawawi ketika ditemui berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersedia menyalurkan bantuan dalam usaha mengembangkan industri nanas terutama varieti baharu yang unik dari segi bentuk dan kemanisannya seperti nanas cobek.
“Industri ini perlu diperluaskan dengan memberi fokus aspek kepakaran dan bimbingan selain menggalakkan pekebun mengusahakan pengeluaran anak benih secara komersial. Tanah terbiar yang komposisi tanahnya sesuai boleh ditebus guna,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2022