DANA KHAS RM3 JUTA KEPADA PPNS & 28 PPK DI SELURUH SARAWAK
KUCHING | 24 SEPTEMBER 2021
Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan khas sebanyak RM3 Juta secara one-off kepada Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) dan kesemua 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh Sarawak di mana RM200,000 akan disalurkan kepada PPNS manakala setiap PPK masing-masing akan menerima RM100,000.
Peruntukan khas tersebut bertujuan untuk menambahbaik dan memantapkan struktur pemasaran PPNS dan PPK agar dapat membantu para petani di Sarawak memasarkan dan menjual hasil pertanian atau produk-produk hasil tani mereka dengan lebih mudah.
Perkara ini diumumkan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat & Pembangunan Wilayah merangkap Pengerusi PPNS, YB Datuk Dr Haji Abdul Rahman Haji Ismail, semasa mempengerusikan Taklimat Pemasaran PPNS Kepada PPK Di Sarawak pada pagi ini.
Turut serta semasa taklimat adalah Dr Gluma Saban, Ketua Bahagian Pertanian & Industri Agromakanan MANRED (mewakili Setiausaha Tetap MANRED); Encik Mohidi Bidin, Ketua Bahagian Institusi Peladang Jabatan Pertanian Sarawak; Encik Gom Anak Raway, Pengurus Besar PPNS; dan ahli-ahli Jemaah Pengarah PPNS dan Pengurus-Pengurus Besar kesemua 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).