Kebajikan Petani dan Nelayan Menerusi Program Peladang Prihatin Inisiatif Elak Hilang Punca Pendapatan
SRI AMAN, Rabu – Keprihatinan Kerajaan menjaga kebajikan petani dan nelayan diterjemah menerusi inisiatif Program Peladang Prihatin (PPP) yang bertujuan mengumpul dan membeli hasil petani melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) agar mengelak para petani kehilangan punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis yang ditemui semasa majlis pelancaran Program Peladang Prihatin Sarawak peringkat Bahagian Sri Aman di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah hari ini menyatakan inisiatif ini bukan sahaja berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi para petani dan nelayan yang tidak mempunyai tempat untuk berniaga, namun ianya turut memberi manfaat kepada pengguna di seluruh negeri serta melancarkan bekalan rantaian makanan sepanjang tempoh PKP.
Dengan adanya inisiatif seperti ini, ia sedikit sebanyak telah dapat mengurangkan kerugian kepada warga tani yang terjejas akibat tidak dapat memasarkan hasil pertanian mereka selepas kerajaan mengambil langkah drastik bagi membendung penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
Fokus utama program melibatkan golongan tidak berkemampuan dan mereka bertugas sebagai barisan hadapan termasuk di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), katanya lagi selepas menyampaikan 90 bakul produk kepada petugas barisan hadapan di PPV Dewan Suarah Sri Aman hari ini.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa komited untuk mendengar, membantu dan menyokong apa jua keperluan dan keadaan rakyat yang bersesuaian bagi memastikan para petani dan nelayan dapat bertahan dalam menghadapi situasi semasa pandemik.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Bahagian, Freddy Paul Giang turut berkata bahawa PPP adalah kesinambungan kepada program di bawah komponen Progam Pembelian dan Pengedaran Hasil Tani oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berkonsepkan pembelian, mempromosikan hasil produk tempatan, mempergiatkan pemasaran termasuk sumbangan penghargaan.
“Untuk Bahagian Sri Aman, kita telah mencadangkan enam lokasi pelaksanaan Program di mana program hari ini adalah lokasi kedua selepas PPV Dewan Johnical Rayong, Skim Skrang dan dengan pengisian utama bakul makanan berupa produk pertanian tempatan seperti nanas, pisang, sayur segar, buah-buahan, petai dan sebagainya secara tidak langsung menggalakkan orang awam makan makanan segar, buah-buahan tempatan serta mempromosikan produk pertanian”, katanya mengulas lanjut.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd. Asree Wee dan kakitangan pengurusan Jabatan Pertanian Bahagian Sri Aman serta Pertubuhan Peladang Kawasan.-TAMAT-
Laporan disediakan oleh :Iswandi Kassim (JaPen Sri Aman)