BANGKOK – Kementerian Pertanian Thailand kelmarin mengharamkan penjualan sejenis nanas merah jambu yang telah diubah suai secara genetik, lapor laman berita Thaiger.
Kementerian berkenaan menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap buah nanas berwarna luar biasa itu dan melaporkan sesiapa sahaja yang terlibat dalam perniagaannya.
Syarikat Costa Rica Fresh Del Monte yang berpangkalan di California menanam nanas dinamakan Pinkglow itu sejak tahun 2005. Buah itu didakwa kurang rasa masam berbanding nanas biasa.
Nanas itu menjadi popular di Amerika Syarikat (AS) dan kini semakin mendapat perhatian di Thailand.
Bagaimanapun, Thailand melaksanakan dasar bebas organisme terubah suai secara genetik (GMO) yang ketat.
Penyeludupan nanas Pinkglow adalah kesalahan jenayah dan mereka yang terlibat boleh dihukum penjara sehingga satu tahun dan/atau denda sehingga 20,000 baht (RM2,540).
Pentadbiran Makanan dan Ubat AS (FDA) meluluskan nanas Pinkglow pada 2016.
Nanas Pinkglow dikatakan lebih manis dan berair daripada nanas biasa. Ia masih padat dengan semua nutrien yang sama, seperti Vitamin C yang baik untuk sistem imunisasi dan mangan untuk menjadikan tulang lebih kuat.