Skip to main content

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyeru pekebun kecil kelapa sawit yang layak untuk memohon insentif yang ditawarkan di bawah kementerian iaitu Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) dan Skim Pembiayaan Mudah (Agro Bank – MPOB)

Menteri Datuk Zuraida Kamaruddin berkata di bawah ITa, pekebun kelapa sawit yang menanam nanas layak mendapat insentif RM7,000 sehektar, manakala pekebun yang menanam pisang, tembikai, jagung dan betik pula layak untuk memohon insentif sehingga RM3,000 sehektar.

“Insentif ini bertujuan untuk menggalakkan pemilik ladang mempelbagai sumber pendapatan melalui tanaman kontan dan mengoptimumkan penggunaan tanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Ini selaras dengan polisi kerajaan mengenai pengembangan kawasan penanaman kelapa sawit, dengan had penanaman tidak melebihi 6.5 juta hektar.

Penanaman berselang ini juga boleh memperbaiki mutu kesihatan ekosistem dan kesuburan tanah, seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran sawit.

Kementerian itu yakin bahawa insentif ini juga boleh membantu meningkatkan pengeluaran sumber makanan dan seterusnya menstabilkan sekuriti makanan dalam negara, katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata di bawah Skim Pembiayaan Mudah Agro Bank – MPOB pula, pekebun kecil boleh memohon pinjaman untuk membeli benih kelapa sawit, baja, racun perosak dan racun serangga untuk ladang mereka.

“Mereka boleh memohon pinjaman bernilai RM2,500 sehektar sehingga RM16,250, dengan tempoh bayaran balik selama 24 bulan pada kadar faedah dua peratus,” jelasnya.

Pinjaman itu bertujuan membantu pekebun kecil dalam memula dan mengembang perniagaan mereka.

“Insentif dan kemudahan ini adalah antara usaha berterusan kementerian untuk meningkatkan taraf hidup pekebun kecil selain mengimbangkan dinamik flora dan fauna bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Kementerian komited untuk terus membela nasib pekebun kecil dengan tawaran permodenan operasi bagi menjamin kemampanan sumber pendapatan dalam jangka masa panjang,” kata Zuraida. – Bernama

 

Source: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2022/06/964366/pekebun-kecil-sawit-disaran-mohon-insentif-ditawarkan

State Farmers’ Organisation Sarawak | PPNS
Scan For Mobile
Calendar
Announcement
Contact Us
Support