KUCHING, 31 Mac: Kerajaan Sarawak menyasarkan pendapatan keluarga petani di negeri ini mencecah RM6,000 sebulan.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, bagi mencapai visi berkenaan, kerajaan negeri telah memberi pelbagai bantuan kepada golongan petani.
“Sehubungan itu, saya berharap agar para petani menggunakan bantuan diberikan dengan sebaiknya.
“Mereka tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan sebaliknya pada masa sama perlu juga berusaha untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga masing – masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahun Ke-36 Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak malam tadi.
Sebanyak 28 pertubuhan peladang di seluruh Sarawak menghadiri mesyuarat berkenaan.
Ke arah mencapai hasrat berkenaan juga, Stephen Rundi menegaskan kepentingan untuk memahami dan melakukan transformasi dalam kegiatan pertanian yang diusahakan.
“Cabaran untuk melakukan perubahan tidak dinafikan ia merupakan sesuatu yang getir namun ingatlah selagi kita berusaha serta terbuka untuk terima idea dan teknologi baharu, pasti ada perubahan.
“Saya percaya, sasaran akan dapat dicapai dan yang miskin tidak selamanya akan hidup susah selagi terus berusaha,”katanya. -TVS
Source: https://tvstv.my/2022/03/31/sarawak-sasar-pendapatan-petani-cecah-rm6000-sebulan/